Pembangunan Leasing Corporation Sdn Bhd (PLC) merupakan anak syarikat milik penuh Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) yang diperbadankan pada 1 November 1977. PLC ditubuhkan sebagai usaha BPMB meneroka ke pasaran pembiayaan komersil, khususnya melalui kemudahan Pajakan. PLC juga merupakan syarikat Pajakan kedua terawal di Malaysia.

Pada awal penubuhan, aktiviti perniagaan PLC tertumpu kepada penawaran kemudahan Pajakan sahaja dan bilangan kakitangan juga amat terhad. Namun begitu, kekurangan ini tidak pernah dijadikan alasan untuk tunduk kepada para pesaing. Sebaliknya PLC telah menggunakan kekurangan tersebut sebagai satu kelebihan dimana sepenuh tumpuan diberi kepada kemudahan Pajakan, menjadikan PLC sebagai salah satu pakar Pajakan di pasaran tempatan.

PLC kemudiannya mengembangkan skop perniagaan dengan menawarkan kemudahan Sewa Beli dan Pemfaktoran serta meningkatkan bilangan tenaga kerja. Daripada sebuah syarikat Pajakan, PLC mula mengorak langkah menjadi sebuah syarikat kredit dengan pakej pembiayaan yang lebih menyeluruh.

Berikutan perancangan yang teliti, komitmen yang tinggi daripada tenaga kerja dan sokongan padu syarikat induk, PLC berjaya menangani masalah kemelesetan ekonomi dan menggandakan usaha untuk mengukuhkan kududukan. Menyedari persaingan yang semakin hebat berikutan aktiviti penggabungan institusi-institusi kewangan, PLC sentiasa memberi perhatian yang khusus kepada tahap perkhidmatan pelanggan. PLC yakin kepuasan pelanggan merupakan kekuatan dan kelebihan utama PLC berbanding para pesaing.

Bermula di Plaza Mui, Jalan P. Ramlee (dahulu dikenali sebagai Jalan Parry), kemudian ke Medan Tuanku Abdul Rahman, seterusnya ke Menara Bank Pembangunan, Jalan Sultan Ismail, PLC berpindah ke Wisma PLC, One Ampang Business Avenue, Jalan Ampang pada penghujung tahun 1995. Perpindahan ini melambangkan kematangan dan kesediaan PLC untuk menyumbang yang terbaik kepada pembangunan ekonomi negara, seterusnya menjadi peneraju industri pembiayaan.

PLC kini mempunyai modal berbayar sebanyak RM50 juta dan sentiasa mengekalkan prestasi kewangan yang cemerlang. PLC juga mempunyai dasar pelanggan kukuh yang terdiri daripada syarikat-syarikat terpilih yang mewakili berbagai kategori industri seperti pembuatan, pembinaan, pembekalan, pengangkutan, pertanian, perhotelan dan juga teknologi maklumat.
 
 
 
 


Copyright © 2007 Pembangunan Leasing Corporation Sdn Bhd. All rights reserved.
Best viewed at 1024 x 768 resolution with IE 5.x. Web Developed & Managed by Locus